KEROSAKAN DERIA BOLEH DIELAK

Pengesanan awal bagi memudahkan tindakan selanjutnya perlu diambil bagi memulihkan ‘kecacatan’ yang didiagnosis.


PEMBEDAHAN implan koklea boleh memberi sinar baru kepada kehidupan pesakit.


SEDARKAH anda, setiap tahun kira-kira 90,000 kanak-kanak di Malaysia lahir dengan sesetengah jenis kerosakan deria pendengaran?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan dalam setiap 1,000 kelahiran di dunia, satu hingga tiga peratus bayi yang dilahirkan ada masalah kerosakan pendengaran.

Profesor dan Pakar Bedah Neuro Otologi (otak dan telinga) di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Lokman Saim berkata, tiada satu kumpulan usia yang lebih cenderung kepada masalah kerosakan pendengaran. Apa yang penting ialah perlunya saringan ujian pendengaran dilakukan seawal usia tiga bulan seseorang bayi.

Dengan lebih sedekad pengalaman dalam bidang pembedahan implan koklea, beliau memberitahu, pengesanan awal bagi memudahkan tindakan selanjutnya perlu diambil bagi memulihkan 'kecacatan' yang didiagnosis.

WHO turut menyatakan separuh daripada kes pekak atau kerosakan deria pendengaran boleh dielakkan menerusi pencegahan, diagnosis awal dan pengurusan yang betul.

"Terdapat dua kumpulan pesakit yang mengalami kehilangan pendengaran. Satu ialah lahir dengan kecacatan itu. Kedua, lahir normal tetapi masalah pendengaran hanya timbul kemudian.

"Mereka yang lahir pekak perlu dikesan seawal mungkin. Sebabnya, bayi tidak dapat memberitahu sehinggalah mereka berusia empat atau lima tahun. Masa itu sudah agak terlambat untuk berbuat apa-apa," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.

Selain doktor, peranan ibu bapa juga perlu lebih peka terhadap perkembangan bayi mereka. Peralatan seperti loceng misalnya, boleh digunakan untuk menguji reaksi si kecil.

Bagi pesakit yang mengalami masalah pendengaran tahap awal atau sederhana, penggunaan alat bantuan pendengaran sudah memadai. Namun, tidak bagi mereka yang sudah mencapai tahap masalah pendengaran serius.

Jelasnya, kumpulan pesakit inilah yang memerlukan pembedahan implan koklea bagi mencegah mereka daripada menjadi pekak.


KEROSAKAN koklea berbentuk siput (warna biru) adalah antara penyebab seseorang menjadi pekak.



DR. LOKMAN SAIM



ALAT implan koklea masa kini berbentuk seakan-akan bluetooth.


Dr. Lokman yang telah mengendalikan sekitar 300 pembedahan implan koklea setakat ini juga memberitahu, majoriti bayi yang dilahirkan pekak berpunca daripada masalah koklea (sensory).

"Terdapat tiga jenis kategori kehilangan pendengaran utama iaitu konduktif, sensory neural dan kombinasi. Kira-kira 90 peratus masalah pekak sensory neural disebabkan oleh koklea dan bukannya saraf. Ini satu kesilapan yang sering disalahfahamkan.

"Pembedahan implan koklea biasanya boleh dilakukan dengan syarat koklea pesakit pekak adalah normal. Ini bagi memudahkan wayar dimasukkan ke dalamnya. Tetapi, ada juga kes pesakit pekak mempunyai bentuk koklea abnormal. Kes-kes seperti ini sangat sukar dan kebanyakan doktor akan memilih untuk tidak melakukannya. Tetapi, saya terima sahaja," ceritanya yang merupakan antara perintis utama Program Implan Koklea, UKM yang dimulakan pada Mei 1995.

Setakat hari ini, seramai 250 pesakit telah menjalani pembedahan implan di bawah program tersebut.

Kes pesakit tertua yang pernah diterimanya untuk menjalani pembedahan implan koklea melibatkan seorang lelaki berusia 70 tahun.

Antara orang dewasa dan kanak-kanak, pembedahan implan koklea ke atas kanak-kanak dianggap paling mencabar dan memerlukan ketelitian tinggi.

"Pembedahan itu antaranya melibatkan 'penerokaan' dan menebuk tulang pada bahagian belakang telinga. Jadi, kami perlu berhati-hati agar tidak mencederakan struktur-struktur penting lain semasa mencari koklea. Struktur yang dimaksudkan ini antaranya ialah urat-urat darah, saraf otak dan saraf muka. Lagipun, koklea terletak amat dekat dengan otak," ujarnya sambil memberitahu satu kesilapan kecil boleh menyebabkan kecacatan kepada pesakit.

Selepas pembedahan, pesakit hanya memerlukan tempoh pemulihan selama tiga minggu hingga sebulan sebelum menggunakan alat implan koklea luaran.

Proses tersebut tidak terhenti di situ sahaja. Malah, pesakit perlu menjalani sesi terapi pertuturan atau audiologi untuk membantu mereka mengenali bunyi. Pesakit tidak keseorangan pada peringkat ini kerana adanya bantuan dari pakar terapi pertuturan dan audiologi.

Tambah Dr. Lokman lagi, hari ini, kebanyakan hospital utama termasuk hospital daerah sudah menyediakan ujian pendengaran termasuk khidmat audiologi.

Ditanya perasaan beliau terhadap perkembangan terkini Lee Chye Hwee yang merupakan pesakit kanak-kanak pertama menjalani pembedahan implan koklea 13 tahun lalu.

Ini jawapannya: "Semasa pembedahan itu dilakukan, hanya satu sahaja yang ada di fikiran saya iaitu untuk memulihkan pendengarannya. Tetapi, apa yang kami tidak sedar ialah impak ke atas dirinya. Sehinggalah saya tahu, dia kini sudah belajar di universiti dan barulah saya sedar bahawa implan koklea itu telah mengubah hidup seseorang. Tanpa pembedahan itu, mungkin dia tidak dapat bercakap atau pekak selama-lamanya. Saya sangat bangga dengan pencapaiannya hari ini." (KOSMO)

0 ulasan: