STRUKTUR TELINGA ANDA

Secara fizikal, telinga boleh dibahagikan kepada tiga iaitu telinga luar, telinga tengah dan telinga dalam (Gambarajah 1). Telinga luar terdiri daripada cuping telinga dan salur telinga anda. Manakala telinga tengah merangkumi gegendang telinga, tulang osikel (incus, stapes dan maleus) , ruang telinga tengah serta tiub Eustachian (yang menyambungkan bahagian telinga tengah ke tekak) .

Telinga dalam pula terdiri daripada koklea, salur separuh bulat dan saraf auditori iaitu saraf pendengaran yang menghantar maklumat pendengaran dari koklea ke otak untuk ditafsirkan. Di otak pula, terdapat pusat pendengaran yang akan memproses maklumat yang sampai dan maklumat-maklumat ini akan ditafsirkan sebagai pendengaran. Disebabkan hal inilah, kita dapat menikmati sensasi pendengaran.

Untuk mendengar, kesemua bahagian telinga yang telah dinyatakan tadi haruslah boleh berfungsi secara normal tanpa sebarang jangkitan atau abnormaliti. Sebarang gangguan di mana-mana bahagian akan menyebabkan individu berkenaan menghadapi masalah pendengaran dan kesan masalah ini bergantung kepada tahap keterukan masing-masing.

Posted Image




Jenis Masalah Pendengaran

Adalah penting untuk anda mengetahui jenis masalah pendengaran yang anda hadapi kerana ia akan membantu anda dan menyelesaikan masalah tersebut. Terdapat masalah pendengaran yang boleh dirawat dan tidak boleh dirawat. Jika anda menghadapi masalah pendengaran yang tidak boleh dirawat, pemakaian alat bantu dengar adalah perlu.

Terdapat tiga (3) jenis masalah pendengaran iaitu masalah konduktif, sensorineural dan campuran. Masalah pendengaran konduktif berlaku apabila terdapat masalah atau jangkitan pada telinga luar dan telinga tengah. Contoh masalah dan jangkitan yang boleh menyebabkan masalah pendengaran konduktif ialah ketiadaan lubang telinga (atresia), cuping telinga kecil atau tiada cuping telinga (mikrotia / anotia), sumbatan tahi telinga di salur telinga, jangkitan kuman pada salur telinga atau telinga tengah dan gegendang telinga bocor/pecah.
Masalah pendengaran sensorineural pula berlaku apabila terdapat masalah atau jangkitan pada telinga dalam, tempat di mana koklea dan saraf pendengaran berada. Masalah ini tidak dapat dilihat secara fizikal (tiada rembesan nanah atau kecacatan fizikal) tetapi hanya dapat dikenalpasti melalui pemeriksaan pendengaran secara menyeluruh. Masalah ini tidak dapat dirawat, tidak seperti masalah pendengaran konduktif yang boleh dirawat secara pengambilan ubat atau pembedahan.

Masalah pendengaran campuran pula berlaku apabila terdapat kehadiran kedua-dua masalah pendengaran serentak iaitu masalah pendengaran konduktif dan sensorineural hadir bersama. Contohnya, seseorang yang mempunyai masalah pendengaran sensorineural juga mempunyai mampatan tahi telinga dikategorikan sebagai mempunyai masalah pendengaran campuran. Apa jua masalah yang berlaku di telinga luar/tengah beserta masalah di telinga dalam disebut sebagai masalah pendengaran campuran.

Berhati-hati jika anda mengalami tanda-tanda berikut !
Segeralah berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan pendengaran anda.

1) Meminta percakapan diulang berkali-kali
2) Bercakap dengan nada suara yang lebih kuat daripada biasa
3) Tidak memahami arahan yang diberikan atau silap memahami
arahan.
4) Sukar memahami perbualan di tempat bising
5) Terpaksa memalingkan kepala ke arah sumber bunyi dalam usaha
untuk memahami apa yang didengari
6) Sukar memahami perbualan telefon
7) Toleransi terhadap bunyi bising berkurang
8) Suka memencilkan diri dari bergaul dan berbual
9) Terdedah kepada bunyi yang sangat kuat
10) Terlibat dalam kemalangan yang melibatkan kecederaan di
bahagian kepala dan leher.
11) Terdapat ahli keluarga yang juga mempunyai masalah pendengaran
12) Pengambilan ubat ototoksik (anti-histamin, anti-diuretik dll)
13) Menghidap penyakit sistemik (kencing manis, hiperkolesterol, buah
pinggang dll)

Perhatikan anak-anak anda. Jika mereka mempunyai salah satu ciri-ciri seperti di bawah, bawalah mereka menemui doktor untuk pemeriksaan pendengaran!

1) Tidak bertindak balas terhadap bunyi
2) Tidak bertindak balas terhadap panggilan nama sendiri
3) Tidak memahami / silap memahami arahan
4) Kelihatan tidak memberikan tumpuan/ sentiasa mengelamun
5) Kelihatan nakal, tidak mempedulikan orang lain / sangat pasif,
menyendiri
6) Lebih banyak menunggu dan melihat apa yang dilakukan oleh orang
lain dahulu sebelum melakukan sebarang tugas
7) Akan membaca bibir, melihat isyarat visual, ekspresi muka dan gerak
tangan daripada mendengar
8) Lewat bertutur
9) Lebih banyak menunjuk dengan jari dari bercakap
10) Menonjolkan sikap yang ganjil ketika berinteraksi dengan
kawan-kawan
11) Menghidap demam kuning yang teruk sehingga memerlukan
penukaran darah selepas dilahirkan
12) Telinga sering berair atau bernanah
13) Dilahirkan sangat kecil (berat badan kurang 1.5kg)
14) Tidak menangis sebaik sahaja dilahirkan
15) Ibu mendapat jangkitan seperti rubella, siphlis, herpes, cytomegalo
virus dll jangkitan kuman semasa mengandung
16) Ibu terdedah kepada radiasi (X-ray ,MRI dll) semasa mengandung
17) Ibu mengambil ubat ototoksik semasa mengandung (anti-histamin,
anti-diuretik dll)
18) Ibu mengambil dadah atau menghisap rokok semasa mengandung


Langkah awal perlulah diambil dalam mengatasi masalah pendengaran terutama di kalangan kanak-kanak. Ia boleh mendatangkan kesan buruk terhadap perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak tersebut. Ini seterusnya akan merencat perkembangan sosial, komunikasi, psikologi dan vokasional individu berkenaan. Masalah pendengaran perlu dikesan sejak kecil (umur <>

0 ulasan: