Teori Pembelajaran Kognitif

Kognitif adalah berkaitan dengan proses mental yang melibatkan mengamati, mengetahui dan memahami. Ahli-ahli psikologi kognitif terdiri daripada Koffka, Kohler, Wertheimer Lewin, Piaget, Ausubel, Bruner, Reigeluth dan Gagne berpendapat bahawa pembelajaran ialah suatu proses dalaman yang berlaku dalam akal fikiran di mana ianya tidak dapat diperhatikan secara langsung daripada tingkah laku manusia. Proses dalaman ini termasuk celik akal, pemprosesan maklumat memori dan persepsi. Lokus pembelajaran menggunakan struktur dalaman kognitif. Tujuan adalah untuk perkembangan kapisiti dan kemahiran untuk belajar lebih baik. Rekabentuk dalam perisian PPBK adalah struktur kandungan aktiviti pembelajaran.

Mengikut teori Gestalt (bentuk, pola atau tatarajah), manusia mempunyai struktur kognitif di mana otak akan menyusun maklumat dalam ingatan dalam proses pembelajaran. Perkataan gestalt berasal daripada bahasa Jerman yang bermaksud bentuk, pola atau konfigurasi yang dipersepsi.Teori gestalt menyatakan terdapat dua aspek penting iaitu gestalt dan latar dalam pengamatan manusia. Gestalt dan latar boleh bertukar kedudukannya bergantung kepada salah satu aspek yang utama.

Contoh : Ilustrasi di bawah mengandungi gestalt dan latar.

Apabila kita memberi perhatian kepada gestalt (bahagian putih), persepsi yang diperoleh ialah sebuah pasu bunga manakala jika perhatian ditumpu kepada latar (bahagian hitam) maka kita akan melihat sebagai dua muka orang.

Dua orang psikologi Jerman iaitu Kohler & Koffka menggunakan pendekatan kognitif bagi mengkaji bagaimana sesekor cimpanzi menyelesaikan masalah untuk mendapatkan sebiji pisang yang tergantung di bumbung sangkarnya. Cimpanzi telah cuba untuk mendapatkan pisang tersebut namun gagal. Cimpanzi tersebut telah menyusun kotak-kotak yang terdapat di sangkarnya dan akhirnya ia berjaya memperoleh pisang tersebut. Menurut Kohler, persepsi perkaitan ini digunakan untuk menyelesaikan masalah, dalam hal ini cimpanzi yang cuba mendapatkan pisang. Inilah celik akal. Celik akal adalah kebolehan mental yang mendorong manusia membuat persepsi perkaitan unsur-unsur dalam persekitaran secara tiba-tiba untuk membantu diri menyelesaikan masalah.

Bruner(1973) mengemukakan Teori Pembentukan Konsep melalui proses pengkategorisasi perkara-perkara atau benda-benda yang mempunyai ciri-ciri yang sama.Konsep yang dinyatakan dikategori kepada tiga iaitu konsep konjuntif, konsep disjuntif dan konsep hubungan. Konsep konjuntif merujuk kepada konsep yang mempunyai dua atau beberapa atribut yang tergabung dan tidak dapat dipisahkan ataupun dikurangkan. Konsep disjuntif merujuk kepada atribut-atribut yang tergabung dalam konsep itu boleh digunakan dalam situasi ataupun situasi lain. Konsep hubungan pula merujuk kepada atribut-atribut dalam konsep mempunyai hubungan khas di antara satu sama lain.

Mengikut Piaget (1977) mengariskan tiga konsep iaitu skema, asimilasi dan akomodasi yang dapat menjelaskan cara perkembangan mental terjadi.

Skema

Skema merupakan struktur mental di mana individu menyusun maklumat dan pengalaman yang diperolehi hasil daripada interaksi dengan persekitarannya. Struktur mental berubah dan boleh disesuaikan semasa berlakunya perkembangan mental dan pembelajaran. Skema digunakan untuk mengenal pasti, memproses dan menyimpan maklumat yang mengalir masuk malah boleh diertikan sebagai kategori-kategori di mana individu mengelas dan menyimpan maklumat spesifik serta pengalaman. Skema sebagai struktur perkembangan kognitif berubah menerusi proses asimilasi dan akomodasi.

Asimilasi

Asimilasi merupakan proses kognitif di mana seorang pelajar mengintegerasikan maklumat dan pengalaman baru dengan skema yang sedia ada. Proses ini melibatkan:

a) sesuatu organisma makan makanan,

b) hadam makanan itu, dan

c) asimilasikan atau tukarkan kepada bahan yang berguna kepada badan manusia.

Semasa pembelajaran, proses asimilasi berlaku hasil daripada interaksi pengalaman dengan skema yang ada. Skema berkembang dengan bertambahnya pengalaman baru tetapi struktur asasnya tidak berubah. Oleh itu, proses asimilasi cuba menempatkan dan membina konsep-konsep baru dengan bantuan skema yang ada.

Akomodasi

Akomodasi merupakan proses untuk meminda/menambah skema yang ada atau menghasilkan skema baru. Skema berubah hasil daripada pengalaman dan kerana itu bidang skema pelajar dewasa lebih luas daripada kanak-kanak. Seorang pelajar akan cuba mengasimilasikan dengan skema yang sedia ada apabila bertemu dengan konsep atau pengalaman baru. Jika proses asimilasi ini tidak secocok, dua kemungkinan boleh dilakukan.

1) pelajar boleh bina satu skema baru berasaskan rangsangan itu.

2) Skema yang ada boleh dipinda supaya rangsangan baru itu dapat disesuaikan.

Kedua-dua proses ini merupakan bentuk akomodasi.

Kesimpulan

Ahli-ahli psikologi kognitif berpendapat pembelajaran adalah perubahan pengetahuan yang disimpan dalam ingatan. Ingatan manusia terbahagi kepada dua ciri penting iaitu maklumat yang ada dalam ingatan akan tersusun dan aktif. Ingatan tidak menerima sebarang maklumat dengan begitu mudah sebaliknya ingatan akan membuat sintesis terhadap maklumat, membuat pencarian dan menyusunnya menjadi maklumat baru. Maklumat tadi disepadukan dengan pengetahuan serta disimpan dalam ingatan.

Menurut Bell Gradler (1986), ingatan yang aktif membuat sintesis melibatkan tiga proses iaitu pemerhatian (attention), mengekod (encoding) dan penemuan(retrieval). Pemerhatian merujuk kepada proses memilih maklumat yang diterima dari persekitaran. Mengekod merujuk kepada proses menterjemah maklumat ke bentuk yang bermakna yang mudah diingati. Manakala penemuan merujuk kepada proses mengenalpasti dan memanggil semula maklumat bagi tujuan tertentu. Oleh itu seseorang individu akan mudah memanggil semula maklumat dari ingatan dan menggunakannya di situasi tertentu secara efektif.

0 ulasan: